PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2002




Dari 17 Jun 2002 hingga 22 Jun 2002, Pengerusi Kelab UMNO Jepun, Saudara Zul Hilmi Zulkifli telah menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2002 yang secara rasminya bermula pada 20 Jun 2002 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Seramai 33 orang wakil dan pemerhati Kelab UMNO Luar Negara telah menghadiri perhimpunan agung pada kali ini.

Pada 17 Jun 2002, semua wakil Kelab UMNO Luar negara telah bertemu dengan para exco Pertubuhan Alumni Kelab UMNO Luar Negara. Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita, dan juga konvekesyen Puteri UMNO telah dirasmikan pada 18 Jun 2002 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pada keesokkan harinya, iaitu pada 19 Jun 2002, wakil-wakil Kelab UMNO Luar Negara telah menikmati jamuan makan tengahari bersama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan diikuti dengan sesi dialog bersama beliau.

Pada 20 Jun 2002, Perhimpunan Agung UMNO telah dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia. Pada petangnya pula, perjumpaan dengan Pergerakan Wanita UMNO telah diadakan dan telah dihadiri oleh Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Shahrizat Abdul Jalil dan exco-exco tertinggi Pergerakan Wanita UMNO. Di dalam perjumpaan ini perbincangan tentang perdagangan antarabangsa dan masalah yang dihadapi oleh Kelab UMNO Luar Negara telah diadakan. Selepas itu, perjumpaan dengan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed telah diadakan. Perbincangan tentang isu pendidikan termasuk isu pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah dijalankan.

Pada 21 Jun 2002, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub telah berbesar hati untuk berjumpa dengan wakil-wakil Kelab UMNO dan menerangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh kepimpinan UMNO dan strategi UMNO untuk memastikan kemenangan di dalam pilihanraya yang akan datang. Selepas itu, perjumpaan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan telah dijalankan. Perbincangan telah diadakan tentang bagaimana mereka dapat membantu Kelab UMNO Luar Negara dan juga masalah-masalah belia di dalam dan luar negara.

Pertemuan dengan Ketua Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad telah diadakan pada 22 Jun 2002 dan beliau telah menerangkan tentang hala tuju UMNO Kelantan dan masalah-masalah didalamnya. Selepas itu satu sesi perjumpaan dengan Puteri UMNO yang diketuai oleh Azalina Othman Said telah diadakan. Kemudian, pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah diadakan dan telah berbincang tentang masalah-masalah yang dihadapi para pelajar luar negara dan juga tentang isu-isu dunia serta keterlibatan Malaysia didalam isu-isu tersebut.  Selepas itu perjumpaan dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Nazri Aziz telah diadakan. Datuk Mohd. Nazri telah menerangkan tentang isu kuota 10% kepada bukan bumiputra di MRSM.

Pada petang 22 Jun 2002, majlis penutupan Perhimpunan Agung UMNO 2002 telah diadakan. Di dalam majlis ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menyampaikan ucapan dimana pada akhir ucapan tersebut beliau mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila membuat pengumuman perletakkan semua jawatan beliau. Para perwakilan terkejut dengan pengumuman itu dan menggesa beliau menarik balik pengumuman itu. Ramai perwakilan UMNO yang menitiskan air mata. Sejam kemudian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  membuat pengumuman bahawa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menarik balik pengumuman beliau dan masih kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Pada sebelah malamnya satu jamuan makan malam telah diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed dan beliau telah menerangkan keadaan Perdana Menteri dan apa yang akan berlaku selepas itu.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini telah memberikan kesedaran tentang kejujuran yang ditunjukkan oleh para pemimpin negara untuk meningkatkan martabat orang Melayu disamping dapat berbincang tentang beberapa isu-isu yang penting. Adalah menjadi harapan Kelab UMNO Jepun agar semua pelajar Malaysia di Jepun terutamanya akan terus memberikan sokongan dan memahami tentang perjuangan bangsa Melayu yang masih lagi belum selesai

# Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan meletakkan semua jawatan di dalam UMNO dan Barisan Nasional serta jawatan Perdana Menteri Malaysia selepas Oktober 2003

@

Untuk mendapatkan maklumat mengenai Rancangan Aktiviti Kelab UMNO Jepun sila ke laman AKTIVITI

Jika terdapat kesilapan maklumat di halaman ini, sila laporkan kepada J/K PENERANGAN

LAMAN UTAMA

kipas.gif (3225 bytes)

@